Wednesday, August 15, 2007

Thank you bus driver.

Kemalangan yang berlaku di Taiping semalam menarik perhatian saya kerana ramai yang menunding jari, dan melepaskan diri dari rasa bertanggungjawab. Isu penundingan jari yang menariknya bertumpu kepada alasan jangka pendek - contoh, soal gaji dan gantung lesen.

Berikutan alasan jangka pendek, jika diperhatikan cara penyelesaiannya juga bersikap jangka pendek. Tiada satu pun alasan berteraskan penyelesaian jangka panjang dan moral.

Saya tertarik dengan alasan pemandu bas kurang. Alasan utama, gaji pemandu bas murah, jadi mereka beralih kepada memandu lori kerana memandu lori gajinya mahal. Persoalannya, sampai bilakah isu perbezaan pendapatan akan selesai ? Kenapa fokus penyelesaian lebih tertumpu kepada memberi gaji tinggi sahaja ?

Isu gaji kurang dan pemandu kurang berpunca pada nilai hormat yang hilang. Pemandu kurang adalah disebabkan kurang hormat masyarakat kepada pemandu-pemandu bas. Memandu bas dilihat sebagai pekerjaan bawahan. Mereka dilayan secara tidak adil dan dipandang rendah. Diperhentian bas, kemudahan yang diberikan setakat ala kadar. Di Klang, pemandu berlegar-legar diluar saja. Tiada bilik khusus yang menawarkan tempat rehat yang mencerminkan mereka ini sepatutnya dihormati selepas penat membawa bas. Tiada lagi rasanya tempat rehat pemandu Malaysia bertaraf 'lounge', lengkap dengan penghawa dingin, cafe, sofa. Belum lagi ada syarikat bas yang mengangkat taraf pemandu mereka dengan menyediakan bilik untuk berehat dan memisahkan mereka sekejap dari dunia membawa bas.

Sedangkan hakikatnya, pemandu bas adalah golongan yang paling penting kerana memikul amanah secara terus membawa penumpang dan barang dari mula destinasi hingga sampai ke destinasi dengan SELAMAT. Tidak ramai yang mencungkil hakikat penat dan jemu bila kena memandu dalam keadaan bas yang buruk, berkuap dan membawa penumpang yang adakalanya cerewet. Tidak ramai yang menghargai rasa letih pemandu bas yang membawa penumpang berjam-jam lamanya. Tidak ramai yang hargai rasa tersiksa pemandu yang perlu memberi sepenuh perhatian terhadap jalan raya ketika memandu kenderaan yang besar.

Saya juga pasti, tidak ada syarikat bas yang memastikan tahap kesihatan secara formal pemandu sebelum memandu. Kebanyakan yang kita lihat, pemandu datang kerja sejam sebelum memandu, dan terus memandu. Tiada ruang rehat yang cukup untuk memastikan emosi mereka stabil sebelum memandu.

Dipihak rakyat, berapa ramai yang berterima kasih dan senyum kepada mereka? Oleh kerana kita mempunyai tanggapan bahawa pemandu bas adalah sekadar memandu, rasa hormat kita terhadap mereka juga kurang. Padahal, mereka mempunyai nilai kerja sama seperti kita. Membawa amanah yang besar iaitu nyawa. Oleh kerana nilai hormat pekerjaan mereka kurang, tauke-tauke bas mempunyai alasan yang kuat untuk tidak menawarkan gaji dan infrastruktur yang sepatutnya dinikmati oleh pemandu bas. Mereka tidak berusaha untuk menggembirakan pemandu bas dan malas memikirkan rancangan yang perlu membuatkan pemandu ini sayang dan bangga dengan kerja mereka.

Ringkasnya, tidak ramai yang mahu tahu isi hati pemandu dan menyelesaikannya melalui kaca mata pemandu. Saya cadangkan, mereka yang tahu bercakap mengenai kamera, gaji, dan tol cuba membawa bas penumpang ke destinasi jauh untuk masa seminggu untuk mengetahui susah payah pemandu bas.

TERIMA KASIH PEMANDU BAS.

No comments:

5 - Ema ke Istanbul “Histoury 2019" [Jalan Jalan Istanbul] - Bahagian 5 - Oh, rindunya pada Baginda!

Bahagian 1 - Dari impian dan minat  Bahagian 2 - Dari KL ke Istanbul  Bahagian 3 - “Mommy, mamak ada ke kat Istanbul?” Bahagian 4 - Hati yan...