Thursday, April 30, 2015

Higher Order Thinking Skill for Mom





Assalamualaikum,

Sebagai pendidik, Alhamdulillah, kecenderungan bahan bacaan saya meliputi genre pedagogi. Secara peribadi ianya amat penting bagi saya kerana ia berkaitan dengan pendidikan anak dan pelajar-pelajar saya.

Lebih kurang 2 tahun lepas, saya diperkenalkan dengan HOTS (Higher Order Thinking Skill) atau dalam bahasa Melayunya Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Kerajaan Malaysia, melalui sistem pendidikan atau secara lebih tepatnya dalam merangka soalan ujian, telah mengutarakan dasar (?) ini. Sejak dari itu, secara serakan saya mula membaca mengenai HOTS.

Kenapa seorang ibu perlu tahu mengenai HOTS (walaupun anaknya masih bayi?)

Saya mengaitkan persoalan ini apabila saya mengalami dilema membeli permainan anak. Apakah bentuk mainan yang sesuai pada umur setahun, dua tahun dan seterusnya? Saya akui agak leceh untuk saya merujuk kepada internet "permainan anak dan kesesuaian umur" setiap kali hendak membeli barang permainan, tapi, saya tidak mahu pula underestimate intelligence anak saya jika memberinya barang permainan yang dibawah fasa pemikirannya. Persoalan yang lebih penting ialah, bagaimana untuk stimulasi pemikirannya dalam mencapai cita-citanya nanti. Bahagian mana yang perlu ditackle?

Jadi, saya cuba kaitkan pengetahuan yang sedikit mengenai HOTS dengan pemilihan barang permainan.

Sebelum itu, dibawah ini adalah rajah HOTS. Aras paling bawah ialah remembering, aras kedua ialah understanding, kemudian applying, seterusnya analyzing, evaluating dan creating. Tiga yang teratas ialah 'the higher thinking skill'.



Sebelum saya menjelaskan tentang pemilihan mainan dengan sistem kognitif (pemikiran) anak, saya mahu berkongsi dengan apa beza fungsi kerja otak pada setiap peringkat ini.

Allah s.w.t ialah MAHA BIJAKSANA, buktinya, hingga sekarang, belum habis lagi penyelidikan mengenai aqal dan otak. Fungsi otak amat kompleks dan pelbagai. Jom lihat sedikit revolusi pendidikan negara. Kita ke zaman P.Ramlee dalam filem 'Masam-masam manis'. Ada babak Che'gu Shaari menulis dipapan hitam "Cikgu suka main bola. Hari-hari cikgu main bola". Saudara sekalian, inilah teknik yang stimulasikan kemahiran aras 'remembering'. Seseorang hanya perlu baca, ingat dan hafal. Kaitkan pula dengan fungsi otak, otak kita diaras ini hanya menggunakan 2 fungsi, membaca dan 'muntah'kan semula.



Adakah ini bermakna aras rendah ini 'low class?' TIDAK! Ia adalah keperluan awal anak kita. Mengingat. Sistem ini selaras dengan pengajian al Quran. Baca dan hafaz dahulu. Jadi dalam memilih permainan untuk anak, saya memilih untuk fokus kepada permainan "baca dan cari". Saya membacakannya buku bergambar, kemudian bertanya "Where is lorry?", Ini akan stimulasikan fungsi 'remembering'nya.

Kemudian, peringkat "understanding". Ini lebih seronok. Fungsi otak telah bertambah kegunaannya. Diperingkat ini, seseorang perlu faham tentang 'kejadian'. Untuk stimulasi peringkat ini, saya memilih permainan yang memerlukan banyak kemahiran fizikal: psychomotor. Saya banyak merujuk kepada 'Pinterest'. Antara permainannya, masukkan guli dalam toilet roll yang dilekatkan didinding. Ia memberi kefahaman mengenai pergerakan dan gravity. Tetapi favourite saya ialah memetik daun-daun pokok didepan rumah dan menyuruh anak cium bau - serta klasifikasikannya; wangi, busuk dsb. Jimat.


Peringkat ketiga ialah "applying", fungi otak pada aras ini bertambah lagi. Bukan setakat baca, ingat dan faham, tetapi aplikasikannya. Contoh permainannya? Cawan plastik yang berwarna (RM3.50 = 6 cawan pelbagai warna). Teknik yang kami gunakan ialah, tunjuk pelbagai cara menyusun dan minta dia susun ikut citarasanya sendiri. Merah dulu pun boleh, ungu dulu pun boleh..tidak fix mengikut cara saya.

stacking cups was always one of my favorite childhood activities ... LOVE this colored ones posted by The Imagination Tree


Peringkat yang lebih tinggi ialah "analyze", menganalisa. Ini adalah 'multibrain function'. Analisa, menurut penjelasan Dr. Mohd Farid Shahran ialah proses menguraikan sesuatu kekusutan, kemudian mengasingkannya pelbagai sudut, menyelesaikan kekusutan tadi mengikut sudut2 tersebut dan mencantumkannya semula. Macam ni, contohnya isu GST, seseorang penganalisa akan melihat GST bukan dari sudut ekonomi saja, tetapi, akhlak, budaya, kemasyarakat dan pelbagai. Dicuba fikirkannya satu persatu, barulah dia boleh membuat kesimpulan sendiri terhadap isu tersebut.



Jadi apa permainan yang sesuai? Saya memilih untuk bermain dengan timbunan baju yang baru basuh untuk dilipat. Saya meminta anak untuk berfikir bagaimana untuk mengasingkan bajunya, baju saya dan suami. Selepas berjaya mengasingkan, saya meminta anak untuk melipat. Of course dia melipat caranya sendiri, tetapi, yang penting, proses analisa itu bertepatan dengan maksud tadi.



Dalam timbunan baju, dia akan melihat, mengingati (remembering), memberitahu baju 'ini mommy punya' (understand), cuba2 mengenakan baju kami (mengaplikasi), mencari keluar (analisa) dari timbunan tersebut dan melipat (analyze).

2 proses yang teratas? In Sha Allah, saya akan cuba ceritakannya pada posting yang akan datang.

Mungkin ada yang tertanya, perlukah mengikut susunan? Jawapannya TIDAK. Ikut kesesuaian anak, saya kira anda lebih kenal dan tahu apa rencana masa hadapannya. Saya hanya berkongsi apa yang saya faham mengenai HOTS dan aplikasi permainan yang sesuai.

Subuh 10 Rejab 1426

EMA ZULL.

Wednesday, April 29, 2015

Adab ialah pendidikan awal




Assalamualaikum para ibunda dan ayahnda,

Menjalani kehidupan sebagai seorang ibu menuntut seorang wanita mendapat ilmu sebanyak mungkin cara mendidik anak. Anak anugerah Allah, penyambung ikatan kasih sayang suami dan isteri boleh membuatkan seorang ibu itu menukar sebahagian cara hidupnya. Tanyalah mana-mana ibu, bezakan perilakunya sebelum dan selepas dianugerahi zuriat. Amat berbeza. Dari segi kematangan, intelektual, emosi, skill dan terpenting tahap ibadahnya. Kebanyakan ibu, kerjaya tahap atasan bukan lagi dambaannya, yang penting bagaimana permata dihadapan mata dan minda boleh dilengkapkan dengan ilmu dan tatacara hidup didunia.....jika dia tiada.

Jika berkalam mengenai pendidikan anak-anak, boleh menyebabkan seorang ibu tidak tidur lena.

Maklumlah, "Sejak dari rahim bonda, bonda telah fikirkan jalan untuk anaknda"

"Kita nak 'mould' dia nanti jadi apa?"

"Kita nak ajar dia apa dulu? Psychomotor? Fine skill? Right brain class?"

"Bahasa mana yang perlu ditekankan? English? (sebab saya mendapati buku teknologi banyak menggunakan bahasa ini...dah oh ya, ia nampak 'cool' apabila anak saya boleh berbahasa Inggeris - alasan bodoh!) Arab? (sebab saya anak saya faham benar dengan al Quran, hadith & syarahan2 ulamak), Mandarin? (sebab saya yakin, itu adalah lingua franca masa depan)...oh dia perlu juga tahu bahasa Ibrani, Hindu (keduanya adalah supaya dia boleh membedah Bible dan Veda)...Bahasa Perancis juga dia perlu tahu (walaupun saya belum nampak signifikannya)"

Sekurang-kurangnya itu antara jutaan persoalan sewaktu anak saya meniti usia 1 hingga 3 tahun.

Saya ada ke bengkel2 keibubapaan, dan ia amat membantu saya.

Saya pernah bertanya dengan Dr. Istas (UTM - pakar Aero), "Macammana nak jadikan anak saya hebat macam bro?"
Beliau menjawab, "ajar bergaul dan hormat dahulu"


Saya pernah terjah Senator Dato Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang saya kagumi, "Apa yang parents Datuk ajar masa kecil2 sampai Dr boleh hebat sebegini? (Beliau tersentak dengan terjahan saya dan jenis soalan saya agaknya...sambil merenung beberapa saat, beliau menjawab) "Al Quran dahulu"

Kedua jawapan di atas saya pegang dan amalkan. Tetapi, seperti biasa, saya belum cukup puas.

Allah Maha Mengetahui.

Semalam dalam saya mengarang satu artikel untuk dihantar ke majalah (mudahan terbit), saya membaca mengenai ibu Imam Malik. Ya, memang saya ada membaca mengenai Imam Malik, tetapi, agaknya, saya 'tidak nampak' clue penting dalam pendidikan awalnya. Disini saya mahu berkongsi. Imam Malik menceritakan:

“Dahulu ibuku mengenakan pakaianku dan memakaikan serbanku, ketika aku masih kecil serta menyuruhku pergi ke Robi’ah bin Abi Abdir Rahman, sambil ibuku berkata kepadaku, “Engkau akan duduk dimajlis Robi’ah. Pelajarilah perangai dan adabnya sebelum engkau mempelajari hadith dan pemahamannya”. (AR. Musnad Al-Muwaththo’ (1/95) oleh Abul Qosim Al-Jawhariy)



Saya terpana sebentar akan pesan ibunya. Rupanya ada 3 poin penting pendidikan anak.

Pertama: Pesan tegas ibunya
"Engkau akan DUDUK dimajlis ilmu"
Ibunya mengarahkan Imam Malik duduk elok2 dalam majlis ilmu, fokus.

Kedua: Belajar dari akhlak pendidik
Betapa peri pentingnya integriti guru/pendidik anak kita. Akhlak guru Imam Malik tentunya amat terpuji. Bagaimanalah agaknya bicaranya, ketegasannya? (Saya belum membaca mengenai guru ini).

Ketiga: "Pelajarilah adabnya SEBELUM pelajari hadith dan pemahamannya"
Oh, ibunya bukan suruh 'belajar pandai-pandai supaya nanti KITA senang' atau 'belajar matematik bagi pandai' atau mengatakan 'cikgu tu tak pandai ajar anakku english, nanti ibu carikan guru lain'. Ibunya mempunyai visi jelas tentang cita-cita anaknya, lalu tahu apa yang lebih penting. ADAB. Adab dahulu SEBELUM belajar ilmu lain! Sudah tentu ibunya mencari guru yang tinggi adabnya dahulu.

Adab Imam Malik memang terpuji, kalau tidak, tidaklah anak muridnya, Imam Syafie, mengakui gementar apabila menyelak kitab dihadapannya dek kerana hormat yang tinggi.

Imam Abdullah mengatakan, "Kami belajar ilmu ADAB 30 tahun, belajar ilmu lainnya 20 tahun"

Masya Allah, saya kira saya sudah tersasar sedikit jalan pemikiran priority pendidikan anak saya. Alhamdulillah, Allah tunjuk yang mana satu penting.

In Sha Allah, saya nampak betapa pentingnya adab. Bukan setakat yang kita ajar secara norma, tetapi lebih. Penekanan adab perlu LEBIH sangat2. Nisbahnya mungkin 3:2 (adab:ilmu lain) jika berdasarkan kata Imam Abdullah.

Begitulah yang saya nampak dan mahu kongsi. Mudahan, pada masa hadapan, permata kita benar2 menjadi "qurratun a'yuni wajalani lil muttaqinna imama" - penyejuk mata dan ikutan orang beriman. Mudahan masalah 'skrol bergulung2, akhlak zero' tidak jengah permata kita.

Mudahan Allah permudahkan usaha kita.

Asar 9 Rejab 1426H

29 April 2015
(Cuti rehat)












Tuesday, April 28, 2015

Sketching philosophical timeline







EMA ZULL

Mencari kelembutan yang hilang

Assalamualaikum,



"Adapun dunia ini tidak wujud secara kebetulan. Dari sejak kesatuan bumi dan langit hingga langit ditinggikan sementara bumi dihamparkan, kesemuanya mengikut apa yang Dia mahu. Dia mengeluarkan sistem dan arahan, lengkap dengan manual hidup. Namun malang sekali bagi makhluk sebaik-baik penciptaan, kita, selalu saja berlagak bongkak. Lucu sekali kita, dalam keangkuhan memegang kuasa yang seciput, kita tertipu juga dengan Penipu dan Pembelit unggul - iblis. Dalam keyakinan tinggi, terikut juga kita terhadap episod keyakinan syaitan yang tampak lebih meyakinkan.

Kita dijadikan dari tanah. Tapi, lagak kita umpama dijadikan dari besi. Keras dan bentak-bentak. Dinyalakan pula api syaitan, membara jiwa, racau tanpa arah.

Terngiang jua pancaindera akan kekasaran makhluk. Berkata kasar, berbahasa kasar, berhati keras.

Mula dari bangun tidur, hati sudah keras ... tutup mata erat buat-buat tidak nampak panggilan subuh.
Bingkas menyiapkan diri, dengan hiruk pikuk ahli rumah.... klentung klentang berlaga.
Dijalan raya hati lagilah mengeras....memotong laluan tanpa sopan. Sumpah seranah dan umpatan. Lucu, kita ini kononnya 'bos' ditempat kerja yang menentukan dasar dan sistem..sedang dijalan raya kitalah jaguh memotong sistem.
Menelek akhbar...ahh..perang sini, mengeji sana, mengata yang sini, mememalukan yang sana.

Belum habis pagi, 50% neuron telah disiksa dengan kekerasan.

Dirumah sama juga halnya, dari beratus rancangan TV, hanya satu sahaja yang menyediakan santapan rohani - AL Hijrah. Maaf saya tidak kategorikan OASIS sebagai agen pelembut hati. Kerana siaran ini, tidak konsisten. Baru sahaja kita menginsafi nasihat Ustaz Kazim, disorot pula iklan deodoran ketiak. Baru sahaja memikirkan mesej Tok Adi, lenggok pinggul perangkap mata, melekakan nurani. Saya kira OASIS belum mempunyai kekuatan yang jitu untuk mentadbir urus content programnya. Tidak apalah, beralihlah ke Al Hijrah.

Diuniversiti juga sama dan kekerasan ditempa lebih halus. Dimasukkan buli-buli dunia ke dalam 'intelektual' pelajar. Cerita nurani dan hikmah terpulang kepada pendidik. Yang lebih pantas adalah ilmu material. Tidak ada pointer untuk adab, tiada rekod untuk akhlak. Hanya teguran yang tiada nilai 3.4, 3.5 atau 4 flat. Jika ada pun satu subjek "Etika" yang mengikut tatacara pemikiran French revolusionist yang hati tidak berurat agama. Maka kita yang dilahir 'bersama Al Quran' dalam era pemikiran liberal, sedikit-sedikit mengenjak kalam Allah, dan mengambil pendekatan barat yang sama bigau dengan Charles Darwin. Maka datanglah pelajar wanita bercelana mikro, pelajar lelaki bersubang dibadan. Mereka lebih pandai menjawab, tetapi apa nak dihairankan, ungka yang terkangkang juga menjawab, monyet yang loklaq juga menjawab. Jawapan yang nampak betul dimulut, tapi tiada nilai ke atas masyarakat. Hati sombong menempa kekerasan.

Dimedia sosial..ah, ini lebih pikuk. Tidak cukup satu dunia fana, dunia fana-maya lebih serabut. Ia lebih didominasi oleh 'intelektual' katanya, seawal umur2 rebung hingga umur sekeras buluh kering semua mendakwa empunya pemikiran kritis. Pantang ada sistem yang mengecutkan nafsu dan mengempiskan perut, semua hendak dibodohkan.

Kasar sungguh dunia ini. Kadangkala, rasa hendak tinggal diKundasang, hendak berkelana ke Sweden bersunyi-sunyian, menikmati kelembutan Aurora ciptaan Allah. Nantilah...



Dalam keserabutan, cuba mentadabbur al-Quran..belum cukup menggoncangkan hati. Manakan diizin Allah s.w.t untuk kalamNya menerobos Bashirah jika hati penuh noda hitam. Terpaksalah diakui perlu masa lagi. Tetapi, tidak boleh tidak, aqal perlu disantap dengan mutiara hikmat.

Maka 'berjumpalah' ku dengan HAMKA..jiwa besarnya memberi harapan kelembutan kepadaku..kata2nya menjadi jambatan hubungan antara hatiku dengan kalam Allah.

Dalam ruangan seterusnya, akan cuba membicarakan tentang HAMKA, jika hanya diizinkanNya.



Subuh 8 Rejab 1436
28 Apr 2015
EMA ZULL


Bicara ini dinukilkan 2 hari selepas bumi Nepal diperintahkan Allah untuk melebur. Ketika ini, dianggarkan 2500 mangsa terkorban. Allahuakbar. Kembali lah roh mengadap Pencipta. Dipanggil secara kasar? Dipanggil secara lembut? Wallahu'alam.


Sunday, April 26, 2015

Itu bukan toleransi!

Assalamualaikum & salam Ahad semua,


Hormat dan toleransi itu berbeza..

Oleh kerana dihampir disetiap bicara kita dan penegak negara seiringkan dua kalimat ini dalam satu ungkap, maka, hilanglah pula erti keduanya. Pabila ia tidak lagi dilihat beza, percayalah, langkah kita bukan lagi tetap dijalanNya. Ibarat kaki kanan melanggar sempadan langkah kiri dan yang kiri menceroboh parameter kaki kanan. Umpama sikaki botol, cuma bukan dinyatakan Allah dengan terang.

Peningnya diiman, kelirunya diaqal.

Bertambah parah jika Allah membiarkan kita jalan sebegitu.

Selayaknyalah dalam memohon jalan yang lurus, bicara ihdinassiratal mustaqim hanya dikelolakan lidah yang natijahnya pandai mempromosikan kata. Tersadung-sadung jalan kita...

Allah...teringat pula langkah kaki dititian sirat nanti..

Bicara ini dikalamkan ketika isu salib menjadi buah bibir rakyat.

Jahat (maaf) sungguh bibir hati yang menuturkan "Hanya Vampire takutkan salib".
Sombong (maaf) sungguh nurani yang mengungkap "alah, bukan jadi Kristian pun kalau tengok salib"

Aduhai Pencipta yang Rahim, aduhai Pencipa yang Penyayang..

besar sungguh toleransi mereka dengan pegangan kaum yang terang-terang disebut dalam muqaddimah kitabMu: "yang dimurkai dan yang sesat"

Aduhai kekasih Allah, Nabi s.a.w yang kucintai..

terbuka sungguh mereka dalam menolong "yang dimurkai dan yang sesat". Terlupakah mereka, "yang dimurkai dan yang sesat itu" perlukan cahaya, bukan terus jerumuskan kedalam lubang yang lebih hitam pekat atas nama "toleransi?"

Allah.......teringat pula kisah bagaimana Nabi s.a.w mengatakan para rahib wanita itu baik dalam menjalankan agama mereka, tetapi mereka tetap sesat.

Saya faham benar bahawa kita dilingkungi keluarga dan rakan yang majmuk. Gopal disebelah, Shannon pula guru, Mogneswary rakan sekerja, Ishwar ibarat anak buah sendiri. Semua mereka ada pengaruh dalam diri, sebab itulah hormat itu mesti, kerana itulah sayang itu dibajai.

Tetapi, untuk bertoleransi tidak boleh. Bukan disebabkan alasan tipis agama kita berlainan, bukan cerita hak minoriti tetapi lebih dari itu.

Tidak boleh bertoleransi jika yang mahu dikembangkan hitam dan gelemat. Kesian mereka! Mereka tidak nampak 'nur'..belum nampak..dan jika kita salah tafsir 'toleransi', menolong untuk menaikkan salib (dengan promosi kata "itu hak mereka", zalimnya kita kepada yang sesat ini.

Sebab itu permohonan maaf itu kedengaran canggung!

Nyata sungguh kompleks diera Dajjal ini. Hak Allah, hak Rasul, hak keluarga, hak rakan, hak minoriti, hak majoriti telah dicampur gaul dalam satu bekas. Semua kelihatan serata..natijah roman Hindustan - "Bukanlah Tuhan itu Tuhan jika Dia tidak mengiktiraf cinta sesama manusia kita yang suci ini" atau dialog "Tuhan juga akan menangis jika cinta kita tidak bersatu"

Astagfirullah...astaghfirullah...astaghfirullahaladzim..

Moga tulisan ini membuka jika tidak luas, sedikit untuk difikirkan. Moga Allah lindungi kita dari Dajjal menghembuskan fitnahnya ke fikiran.

Wallahu'alam.

Subuh 7 Rejab 1426

EMAZULL



5 - Ema ke Istanbul “Histoury 2019" [Jalan Jalan Istanbul] - Bahagian 5 - Oh, rindunya pada Baginda!

Bahagian 1 - Dari impian dan minat  Bahagian 2 - Dari KL ke Istanbul  Bahagian 3 - “Mommy, mamak ada ke kat Istanbul?” Bahagian 4 - Hati yan...